Tuesday, June 12, 2012

FEUDALISME DI ENGLAND


Latarbelakang Sistem Feudal di England     
Selepas kejatuhan  Empayar Rom, menjelang tahun 800 Masihi,  muncul satu      institusi politik yang dikenali sebagai feudalisme di Negara- negara Eropah      Barat termasuklah di England. Dalam sistem feudal terdapat  satu susunan       tanggungjawab yang kompleks dan obligasi di kalangan individu daripada      kelas terbawah (serf) kepada kelas teratas iaitu raja. Setiap serf memberi   sumpah kesetiaan kepada golongan yang lebih tinggi daripada mereka.    Golongan yang lebih tinggi ini ialahknight (pahlawan),  bangsawan (baron,  duke,lord) dan akhir sekali ialah raja.Setiap bangsawan  berjanji untuk melindungi mereka yang telah bersumpah untuk bersatu dengannya  (Sivachandralingam, et.al.1999:93). Dalam   sistem  feudal  di England,  kebergantungan sangat kuat antara seorang raja dengan golongan bangsawan (lord) yang dilantik sendiri oleh  raja.

Golongan bangsawan mempunyai hubungan secara langsung dengan raja. Jika seseorang raja memerlukan tenaga buruh untuk melakukan sesuatu  kerja atau memerlukan tentera maka golongan petani (serf) akan dikerah untuk memenuhi keperluan tadi. Jadi dalam sistem feudal di England  golongan petani (serf) menjadi subjek utama dan tidak mempunyai sebarang hak. Dalam sistem feudal, tanah menjadi elemen utama iaitu semua tanah adalah milik raja. Golongan bangsawan telah dikurniakan tanah (wilayah) oleh   raja. Tanah menjadi punca kekayaan bagi raja dan golongan bangsawan.

Ciri-ciri Sistem Feudal di England

1.  Hubungan bertimbal balas atau hubungan dua hala.

Hubungan bertimbal balas (vassalage) yang dibuat melalui persetiaan seseorang hulubalang sebagai pengikut (vassal) kepada seseorang hulubalang lain yang diangkat sebagai tuan (lord) kepada vassal tersebut. Melalui hubungan ini, seseorang vassal dan lord akan diikat dengan fungsi dan tanggungjawab-tanggungjawab tertentu. Golongan vassal akan memberikan ketaatan dan perkhidmatan terutamanya dalam bidang ketenteraan kepada lordnya. Sebagai timbal balas golonganlord pula akan memberikan penjagaan dan perlindungan kepada vassalnya.

2.  Harta feudal yang kebiasaannya berupa tanah.

Ciri yang kedua iaitu harta feudal (fief), kebiasaannya berupa tanah yang menjadi punca kekayaan kepada tuan tanah iaitu raja dan golongan bangsawan. Tanah dikurniakan oleh raja kepada seseorang lord kemudian lord pula akan memberkan tanah kepada vassalnya bertujuan untuk mengikat persetiaan. Oleh kerana tujuan utama pemberian fief adalah untuk mendapatkan khidmat ketenteraan, maka fief juga dikenali sebagai military fief. Fief tidak semestinya berupa tanah sahaja, sebaliknya pangkat, jawatan, kedudukan dan sebagainya boleh juga diberikan sebagai bentuk fief. Pemberian fiefberupa tanah dapat  menarik minat golongan hulubalang yang berkuasa. Golongan serf tidak memiliki tanah, tetapi dibenarkan untuk bercucuk tanam dan menternak binatang di atas tanah yang dibenarkan oleh tuan tanah.

3.  Ketenteraan.

Ciri feudalisme yang ketiga ialah ketenteraan, iaitu wujudnya kelas-kelas hulubalang dan perlaksanaan khidmat-khidmat ketenteraan persendirian oleh vassal kepada lord sebagai penerimaanfief. Oleh kerana tujuan asas hubungan vassalage-fief adalah mewujudkan satu organisasi ketenteraan yang efektif. Perkhidmatan utama yang diberikan oleh vassal kepada lord ialah perkhidmatan ketenteraan. Perkhidmatan-perkhidmatan lain termasuklah yang melibatkan aspek-aspek ekonomi hanya merupakan perkhidmatan sampingan sahaja.Oleh kerana sistem feudal dikaitkan dengan aspek ketenteraan maka di Eropah atau England wujudnya golongan tentera elit seperti knights dan chivalry yang lebih berdisiplin, terlatih dan mempunyai peralatan yang mahal.

4.  Kuasa pemerintahan dan hak-hak perundangan persendirian.

Ciri feudalisme keempat ialah kuasa pemerintahan dan hak-hak perundangan persendirian yang dimiliki dan dilaksanakan oleh lord terhadap vassalnya serta ke atas rakyat yang berada di atas tanah-tanah kepunyaan lord. Selain menguasai tanah, seseorang lord juga turut berkuasa ke atas sumber ekonomi, pentadbiran, pelaksanaan undang-undang, mengutip cukai, mengawal institusi ketenteraan dan institusi kewangannya.

Struktur Masyarakat Feudal di England.

1.  Masyarakat di England atau Eropah terbahagi kepada dua golongan iaitu pemimpin dan yang dipimpin. Golongan pemimpin terdiri daripada raja dan bangsawan. Susunan masyarakat feudalnya berbentuk piramid iaitu raja atau pemimpin utama terletak di lapisan paling tinggi. Di bawahnya terdapat beberapa lapisan para bangsawan yang menjadi pengikut raja atau vassal yang memberi kesetiaan kepada raja. Golongan bangsawan ini terbahagi kepada dua iaitu lapisan pertama dan kedua.

2.  Golongan Bangsawan lapisan pertama yang memiliki tanah (fief) secara langsung daripada raja dikenali sebagai tenants-in-chief. Bangsawan lapisan pertama pula membahagikan fief mereka kepada bangsawan lapisan kedua. Proses ini dikenali sebagai subinfeudation . Bangsawan lapisan ke dua  seterusnya membahagikan fief mereka kepada bangsawan yang lebih rendah daripadanya  atau golongan petani. Setiap  bangsawan (Vassal) berkuasa ke atas petani yang menentap dififnya. Hampir kesemua petani terdiri daripada serf yang bertaraf antara orang bebas dengan hamba (Ranjit Sing Malhi, 1993: 91).

3.  Golongan yang dipimpin pula merupakan golongan rakyat biasa yang menetap di wilayah kekuasaan golongan bangsawan. Rakyat biasa ini dikenali sebagai serf iaitu golongan bukan hamba tetapi tidak bebas sepenuhnya. Mereka terikat kepada pemimpin atau tuan mereka dan tidak bebas bergerak atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Mereka bergantung kepada golongan bangsawan untuk mendapatkan mata pencarian. Terdapat juga petani bebas yang menyewa tanah daripada golongan bangsawan ( Ranjit Sing Malhi, 1993: 91).

4.  Selain itu terdapat golongan paderi yang merupakan satu kelas yang berasingan. Sebilangan besar daripada mereka terdiri daripada  daripada golongan  bangsawan yang mempunyai tanah sebagai Vassal dalam sistem feudal (Ranjit Singh Malhi, 1993:91).Menurut Ferguson dan Brunn, pada abad ke-12 dan ke-13, hampir 1/3 daripada tanah yang boleh digunakan di Eropah barat di kawal oleh greja. Bishop, abot dan pegawai-pegawai yang memegang jawatan penting dalam gereja biasanya adalah golongan bangsawan.Justeru itu mereka sering campur tangan dalam pemilihan jawatan bishop dan jawatan-jawatan lain untuk salah seorang dari ahli keluarga mereka. Akibatnya pegawai-pegawai greja terdiri daripada golongan yang mementingkan meterial dan mempunyai dua tanggungjawab (Sivachandralinggam, 1996:70).

No comments:

Post a Comment