Monday, June 25, 2012

MASYARAKAT INDUSTRI ENGLAND


MASYARAKAT INDUSTRI DI ENGLAND
Pengenalan

Map of EnglandPada umumnya, revolusi perindustrian bermaksud proses perubahan sebuah ekonomi yang mudah kepada satu ekonomi yang kompleks. Revolusi perindustrian berlaku dalam 2 tahap iaitu tahap pertama berlaku di England pada tahun 1760 hingga tahun 1860. Manakala tahap kedua pula revolusi perindustrian telah berkembang ke bahagian barat benua Eropah, Amerika Syarikat, Rusia dan Jepun antara tahun 1860-an hingga tahun 1914.

Revolusi perindustrian  mempunyai beberapa maksudseperti perubahan pesat dalam kaedah pengeluaran barangan selain pertanian. Ia juga mempunyai pengertian lain iaitu melibatkan proses perubahan dalam industri, dalam bidang penggunaan sumber tenaga, bidang sosial dan intelektual. Perubahan ini melibatkan penghasilan barangan daripada penggunaan tangan kepada penggunaan mesin pengeluaran dan proses kimia.

Menurut Straubhaar dan LaRose , masyarakat industri wujud  selepas berlakunya Revolusi Industri yang dikaitkan dengan penemuan mesin wap di Eropah (Britain) pada tahun 1712. Masyarakat industri mengalami perubahan yang pesat dalam bidang ekonomi iaitu dari kegiatan ekonomi agraria  kepada ekonomi industri yang penggunaan mesin dalam memproses bahan mentah menjadi barangan siap atau barangan kilang.

Perkembangan revolusi ini telah mencetuskan sistem ekonomi kapitalisme iaitu satu sistem ekonomi yang berasaskan pemilikan secara persendirian ke atas aset-aset kilang yang dianggap sebagai modal. Revolusi Perindustrian juga memperlihatkan England berubah daripada negara agraria (pertanian) kepada negara perindustrian serta menyebabkan berlakunya pertumbuhan kadar urbanisasi yang pesat dan pertambahan penduduk yang tinggi.

Revolusi Perindustrian yang berlaku juga membawa kepada pengenalan kuasa jentera, sistem kilang dengan pengeluaran yang berlibat ganda, pengumpulan modal yang memesatkan lagi pertumbuhan ekonomi dan berlakunya pertambahan bilangan kelas pekerja serta kelas pertengahan baru yang terdiri daripada pemilik kilang, saudagar, peniaga, ahli-ahli bank, doktor, peguam dan jurutera.

Faktor-Faktor Yang Mendorong Tercetusnya Revolusi Perindustrian di England.

1.      Berlakunya perkembangan pesat dalam sektor pertanian telah menambahkan pengeluaran makanan di England.

2.      Perkembangan industri tekstil yang merupakan perusahaan tertua di England telah mendorong pengambilan beribu-ribu tenaga kerja untuk menghasilkan barangan tekstil.

3.      Revolusi ini juga berlaku kerana England mempunyai modal yang banyak yang dipusatkan di Bank England dan juga mempunyai bahan mentah yang banyak seperti arang batu dan bijih timah.  Bekalan bahan mentah ini juga dibekalkan oleh empayar England di luar negara.

4.      Di England juga berlaku pertambahan penduduk turut menyumbang kepada bekalan tenaga buruh yang tinggi untuk kilang dan pasaran yang tersedia sama ada dalam negara dan empayar luar England.

5.      England juga mempelopori perindustrian di Eropah kerana mempunyai hasil kekayaan yang dikumpul daripada pengamalan dasar mekantilisme. England juga muncul sebagai negara yang pertama berlaku revolusi perindustrian kerana tidak mendapat persaingan daripada negara-negara Eropah yang lain seperti Perancis dan Jerman.

6.      Pada abad ke-18, England mengamalkan satu bentuk sistem aristokrat yang terbuka iaitu golongan aristokrat (bangsawan) diberi keistimewa yang banyak, memiliki kekayaan dan pengaruh politik. Di bawah sistem terbuka ini golongan pedagang diterima secara terbuka dan mempunyai hubungan yang rapat antara kedua-duanya.

7.      Golongan puritan merupakan sebahagian kecil golongan agama bermazhab protestan yang tidak berpuas hati  dengan gereja Anglican (gereja kebangsaan di England) terhadap pengekalan amalan dan sifat gereja tradisional Kristian. Golongan ini turut membantu perkembangan rovolusi perindustrian di England dengan melabur sejumlah wang dalam industri. Mereka juga memperkenalkan kemajuan sains dan teknologi dalam bidang industri.

8.      Penciptaan baharu dalam revolusi pertanian seperti mesin menyemai benih, mesin pembajak Rotterham, jentera berkuasa wap dan mesin memukul yang menggunakan kuasa wap telah mendorong berlakunya revolusi perindustrian di England. Penciptaan mesin-mesin ini telah dapat mengurangkan penggunaan tenaga manusia dan meningkatkan hasil pertanian seterusnya hasil yang berlebihan ini dijadikan sebagai sumber bahan mentah dalam sektor industri.


MASYARAKAT MARITIM JEPUN


MASYARAKAT MARITIM DI JEPUN
Maksud Masyarakat Maritim

Masyarakat maritim bermaksud masyarakat yang memberikan tumpuan utama terhadap perdagangan dan kegiatan yang berkaitan dengan laut. Masyarakat ini mempunyai pelabuhan sebagai tempat untuk menjalankan kegiatan perdagangan atau kegiatan kelautan. Pelabuhan ini akan dilengkapi dengan berbagai-bagai kemudahan seperti bekalan air, tempat tinggal, tempat menyimpan barang dan kawasan untuk berjual beli. Masyarakat maritim merupakan masyarakat yang tinggal di pesisir pantai, menjalankan aktiviti perdagangan, membuat kapal, menangkap ikan dan mengutip hasil laut. Penduduk peribumi Jepun dikenali sebagai Ainu manakala yang lainnya adalah pendatang dari Tanah Besar Asia yang menetap di pesisir pantai membentuk masyarakat maritim.

Fail:Sueyoshi ship tablet of 1633.jpgBagi negara Jepun, dasar pemerintahan yang dijalankan hanya menumpukan aktiviti perdagangan dengan negara China dan negara-negara Asia Tenggara bagi mengawal rakyatnya serta daimyo-daimyo di bawah kekuasaan shogun. Abad ke 16 Oda Nabunaga (1534-1582) telah berjaya menyatukan Jepun dan menyedari kepentingan mengadakan hubungan dengan Barat dan ini telah merancakkan perdagangan Jepun. Jepun juga membuka pintu negaranya kepada negara barat tetapi mengadakan perdagangan secara terhad dengan pelbagai peraturan tertentu. Abad ke 16, pedagang-pedagang dan mubaligh dari Eropah telah datang dan mula bertapak di Jepun. Abad ke17, Jepun mengamalkan dasar tutup pintu iaitu hubungan dengan Barat dijalankan secara terhad, penganut Kristian mula ditindas dan orang-orang Jepun dilarang ke luar negara.

Ciri-Ciri Masyarakat Maritim Jepun.

1.     Kegiatan Ekonomi Berasaskan Kelautan.
Masyarakat Jepun terlibat dengan kegiatan penangkapan ikan. Harold M. Vinacke mengatakan makanan orang yang sama penting dengan nasi ialah ikan, mengutip hasil laut seperti mutiara, perdagangan, membaiki dan membuat kapal. Perikanan merupakan pekerjaan utama penduduk Jepun kerana makanan kedua selepas nasi bagi masyarakat Jepun ialah ikan. Nelayan Jepun juga adalah penyelam mutiara yang handal.

2.     Lokasi Petempatan Di Pesisir Pantai.
Lebih kurang 97% wilayah daratan Jepun berada di keempat-empat pulau terbesarnya iaitu Hokkaido, Honshu(pulau terbesar), Shikoku, dan Kyushu. Sebanyak 72% pulau-pulau di Jepun bergunung-gunung, dan sebahagian di antaranya merupakan gunung berapi. Masyarakat maritim Jepun tinggal di pesisir pantai seperti di perkampungan nelayan di Yokohama dan menetap di kawasan-kawasan bandar-bandar pelabuhan seperti di Nagasaki, Nagoya, Hiroshima dan lain-lain bandar pelabuhan.

3.     Masyarakat pelbagai Budaya.
Jalinan perhubungan dengan masyarakat antarabangsa menyebabkan masyarakat Jepun menerima pelbagai pengaruh budaya luar seperti pengaruh agama Kristian yang dibawa oleh mubaligh-mubaligh Kristian Portugis, agama Buddha dan Confucius dari China serta Shinto yang merupakan kepercayaan tempatan. Dibandar-bandar pelabuhan pula terdapat pedagang-pedagang Portugis, Sepanyol dan China. Sebelum pengamalan dasar tutup pintu, mubaligh Kristian dibenarkan menjalankan aktiviti penyebaran agama Kristian dan mendirikan gereja bagi menjalankan kegiatan agama mereka.

4.     Menguasai Ilmu Kelautan Dan Pelayaran.
Masyarakat maritim Jepun menguasai ilmu pelayaran mereka belayar hingga ke Australia, Asia Tenggara, Amerika Selatan, Korea dan China. Mereka mampu membina kapal besar meredah lautan. Kapal mohor merah (Shuinsen) adalah kapal layar bersenjata pedagang Jepun yang berlayar dalam perdagangannya ke pelabuhan-pelabuhan Asia Tenggara, di awal pemerintahan Keshogunan Tokugawa. Antara 1600 dan 1635, lebih dari 350 kapal Jepun melakukan pelayaran dagang ke luar negeri.

5.     Pelabuhan Entreport.
Masyarakat Jepun mengendalikan perdagangan melalui pelabuhan  entreport Kyushu, Shimoda, Hokodate dan Nagasaki. Para pedagang Jepun pada abad ke-16, telah mengeksport perak, berlian, tembaga, pedang, dan barang-barang lainnya. Jepun juga telah mengimport sutera Cina dan produk-produk Asia Tenggara (seperti gula dan kulit rusa). Lada dan rempah-rempah jarang diimport oleh Jepun kerana masyarakatnya tidak banyak makan daging. Pelabuhan-pelabuhan Asia Tenggara menjadi tempat pertemuan antara kapal-kapal Jepun dan China.

6.     Menerima Pengaruh Luar.
Sebelum dasar tutup pintu abad-17, masyarakat maritim Jepun mudah menerima pengaruh luar seperi agama Buddha, Confucius dan agama Kristian. Para pedagang dan mubaligh Jesuit dari Portugal pertama kali tiba di Jepun, lalu memulakan kegiatan pertukaran perniagaan dan kebudayaan antara Jepun dan Dunia Barat(Perdagangan dengan Nanban). Penganut Kristian bebas menjalankan aktiviti mereka dan mubaligh juga bebas berdakwah. Malah tulisan Jepun berasal dari huruf China dan kosa kata Bahasa Jepun juga menerima pengaruh bahasa Portugis. Orang Jepun ketika itu menggelar orang asing dari Dunia Barat sebagai nambanyang bererti kaum gasar dari selatan.


Perkembangan Masyarakat Maritim Di Jepun. 

1.           Di zaman pemerintahan Ashikaga, masyarakat Jepun telah mengalami perubahan ekonomi seperti perdagangan, pembuatan kertas, pengeluaran kain, barangan logam, tenunan dan sebagainya yang sedang berkembang maju.

2.           Pada abad ke-16, masyarakat Jepun telah mengadakan hubungan perdagangan dengan perdagang Portugal. Menjelang tahun 1550, ramai pedagang Portugal memasuki Jepun dan menjalankan aktiviti perdagangan. Hubungan yang terjalin turut membawa masuk teknologi barat seperti teknologi kapal, teknik perang, persenjataan, kesenian dan berlaku penyebaran agama Kristian.

3.           Pada tahun 1570, Shogun Ashikaga telah menanda tangani satu perjanjian perdagangan dengan pedagang Portugal. Melalui perjanjian ini, pedagang Portugal dibenarkan berdagang di pelabuhan Nagasaki dan perkara ini telah mendorong berlaku peningkatan perdagangan dengan dunia luar dan menjadi pintu keluar bagi pedagang Jepun untuk ke luar negara.

4.           Perkembangan ekonomi ini telah menyebabkan beberapa buah bandar semakin berkembang sebagai pusat ekonomi seperti Kyoto, Osaka, Seto dan Edo. Bandar diraja Kyoto telah menjadi pengeluaran barangan kraf tangan dan kekal sebagai bandar raya terbesar di Jepun. Bandar Osaka pula telah menjadi bandar perdagangan dan perindustrian. Manakala bandar Seto di wilayah Owari telah menjadi pusat pengeluaran barangan tembikar di Jepun. Kemudian muncul pula bandar Edo sebagai bandar baru dan berjaya mengatasi bandar-bandar lama.

5.           Masyarakat Jepun telah mengimport barangan tropikal dari Asia Tenggara, barangan sutera, tembikar, buku, lukisan dan wang tembaga daripada China. Menjelang abad ke-15 dan 16, Jepun telah mengeksport sejumlah barangan siap ke China dan negara-negara lain seperti pedang, kipas berlibat dan pemidang. Kipas berlipat dan pemindang mendapat permintaan yang tinggi di China.

6.           Pada zaman pemerintahan Shogun Ieyasu, Jepun mengamalkan dasar terbuka dalam perdagangan dengan negara luar dengan harapan Jepun akan memperolehi keuntungan daripada persaingan Barat dalam perdagangan. Shogun Ieyasu mengharapkan bantuan teknikal dan perdagangan dengan Sepanyol di Filipina dalam kepakaran perlombongan dan pembinaan kapal. Oleh itu Ieyasu telah mengutuskan surat kepada Sepanyol tetapi malangnya gabenor Sepanyol di Filipina lambat memberi jawapannya dan hal ini telah menyebabkan Ieyasu marah. Perkara ini telah mendorong Shogun Ieyasu memberi perhatian pula kepada kedatangan pedagang British dan Belanda.

7.           Walaupun Jepun mengadakan hubungan perdagangan dengan negara barat,  tetapi hubungan yang terjalin adalah secara terhad. Perkembangan perdagangan di Jepun dengan negara luar seperti dengan Portugal, British, Belanda dan Sepanyol pada abad ke-16 dan 17 telah menggalakkan penggunaan mata wang perak bagi mengantikan penggunaan beras dan kain sebagai tukaran di Jepun. Penggunaaan mata wang perak ini telah menggalakkan lagi aktiviti perlombongan perak, perak dan emas.

8.           Perkembangan ekonomi wang telah mempercepatkan kemajuan perdagangan tempatan dan luar negara terutamanya dengan China. Namum hubungan perdagangan antara Jepun dengan China terputus akibat serangan lanun Jepun ke atas China. Oleh kerana Jepun mahukan barangan sutera dan mewah China manakala China pula memerlukan barangan perak Jepun maka mereka menjadikan pedagang Portugal di Macau sebagai orang tengah dalam hubungan perdagangan.

9.           Perkembangan ekonomi ini juga telah membawa kepada pengkhususan pekerjaan dan telah membawa pertambahan jumlah bilangan golongan tukang (artisan) dan saudagar. Persatuan mula muncul terutama persatuan kewangan (mujinko).

10.       Perubahan pesat ekonomi perdagangan di Jepun telah membawa perubahan dalam kehidupan golongan samurai. Sebelum ini golongan samurai bergantung hidup dengan menerima pendapatan berbentuk berguni-guni beras daripada shogun dan daimyo telah menjualnya kepada golongan saudagar di Osaka. Perkara ini telah menyebabkan golongan saudagar menjadi semakin kaya di Jepun walaupun dalam sistem feudalnya berada tahap paling rendah.

11.       Pada abad ke-17, muncul ramai golongan pedagang yang cekap dan berpengalaman serta golongan peminjam wang di bandar seperti Mitsui yang mempunyai syarikat persendirian.

12.       Di Jepun juga telah berlaku perkembangan dalam penghasilan barangan tembikar yang halus dan barangan porselin yang cantik. Teknik pembuatan tembikar telah diperolehi daripada pembuat tembikar Korea dan telah menjadi industri penting di Jepun. Industri tekstil turut berkembang pesat di Jepun terutama dalam penghasilan broked sutera yang cantik. Jepun juga menghasilkan secara besar-besaran barangan lakeryang bermutu dan mempunyai hiasan yang indah.

13.       Walaubagaimanapun perkembangan perdagangan di Jepun terhenti apabila Shogun Tokogawa telah mengubah dasar pemerintahan Jepun daripada dasar buka pintu kepada dasar pemencilan secara relatif dari dunia luar pada tahun 1638 kerana timbulnya perasaan syak wasangka terhadap orang barat.

14.       Segala aktiviti perdagangan telah diharamkan dan semua orang asing atau pedagang asing di halau keluar dari Jepun. Ini terdapat dalam arahan larangan yang dikeluarkan pada tahun 1633, 1635 dan 1639. Antara larangan yang dibuat ialah melarang kapal-kapal Jepun meninggalkan negara, rakyat Jepun juga dilarang meninggalkan negara dan mengharamkan kapal-kapal asing masuk ke Jepun.


Wednesday, June 13, 2012

MASYARAKAT AGRARIA BELANDA


MASYARAKAT AGRARIA DI BELANDA
1.            Ekonomi negara Belanda mula berlaku perkembangan terutama selepas Belanda berjaya bebas daripada cengkaman kuasa Sepanyol pada tahun 1585. Taraf hidup masyarakat Belanda semakin meningkat apabila berlaku revolusi pertanian dan revolusi perkapalan telah menjadikan Belanda sebagai kuasa perdagangan di Eropah serta menjadikan pelabuhan Amsterdam sebagai pelabuhan yang sibuk pada abad ke-16 dan 17.

2.            Masyarakat petani terutama disebelah utara Belanda telah mengusahakan kegiatan pertanian secara kecil kecilan dan secara sistem pertanian padang terbuka. Hasil pertanian ini untuk pasaran tempatan di bandar-bandar negara Belanda sahaja.

3.            Dalam sistem ini, tanah pertanian dibahagi kepada bidang tanah iaitu setiap bidang tanah dibahagi kepada beberapa lajur tanah secara memanjang untuk diusahakan oleh petani. Petani hanya akan mengusahakan beberapa bidang tanah sahaja dan sebidang lagi akan dibiarkan kosong atau tanah rang sahaja untuk mengembalikan kesuburan tanah bagi musim akan datang. 
4.            Pada abad ke-17, revolusi pertanian yang berlaku telah mendorong pertambahan tanah pertanian kepada 36 ribu ekar sekitar tahun 1590 hingga tahun 1615, begitu juga dengan masyarakat petani dan penggunaan kuda dalam pertanian turut bertambah. Kegiatan dan pengeluran hasil pertanian semakin meningkat apabila kerajaan Belanda berjaya menambak laut untuk dijadikan kawasan pertanian. Penggunaan teknologi kincir angin semakin merancakkan lagi kegiatan pertanian di Belanda kerana kawasan tanah tinggi boleh disalurkan air untuk pertanian.
http://t2.gstatic.com/images?q=tbn:ANd9GcSVHeZVjVWM_hQMmPjMU7uiXSkN7--saHk9eQ_mc7osu191h7cUbw
5.            Masyarakat agraria Belanda menggunakan kaedah tanaman giliran antara tanaman ubi-ubian, kekacang dan bijirin. Kaedah ini akan mengembalikan kesuburan tanah dan meningkatkan lagi hasil pengeluaran pertanian. Tumpuan utama masyarakat agraria Belanda ialah tanaman bijirin seperti gamdum, barli, oat yang menjadi sumber utama Belanda. Tanaman lain pula yang diusahakan ialah kobis, kekacang, jagung dan bunga-bungaan. Hasil-hasil ini akan dieksport keluar negara.

6.            Selain itu, masyarakat agraria Belanda juga mengusahakan kegiatan penternakan binatang terutama lembu tenusu untuk pengeluaran hasil tenusu. Belanda telah menjadi pusat utama penternakan lembu ini. Lembu-lembu daging pula diternak untuk disembelih dan dieksport ke kawasan lain di Belanda antara tahun 1500 hingga tahun 1660.

7.            Masyarakat agraria Belanda di desa turut mengusahakan industri tekstil terutama di Flanders dan Brabant. Mereka mengeluarkan pakaian berasaskan kain bulu dan linen. Masyarakat di bandar pula, menggunakan mesin untuk mewarnakan dan memutihkan kain kemudian dipasarkan sehingga tahun 1568.

8.            Pada abad ke-17, industri tekstil di Leiden semakin berkembang terutama dalam pengeluaran kain-kain jenis woolen, says, fustians dan camlets. Perkara ini telah mendorong pertambahan pengeluaran kain sehingga meningkat sebanyak 130 ribu pada tahun 1660-an. Selain Leiden, Haarlem telah menjadi bandar pengeluran kain linen utama untuk dipasarkan ke Eropah.

9.            Hampir 1/5 masyarakat agraria Belanda telah mengusahakan kegiatan menangkap ikan terutama di kawasan Holland dan Zealand merupakan perairan yang kaya dengan ikan herring berkualiti tinggi. Pada abad ke-17, masyarakat Belanda telah menangkap ikan dari Laut Utara hingga ke Selat Inggeris dengan menggunakan kapal-kapal yang bersaiz besar sehingga menjangkau 30 tan beratnya. Mereka berjaya mengatasi nelayan Jerman untuk menguasai pasaran ikan di kawasan Baltik. Mereka akan berada di laut selama 8 minggu dengan anak kapal antara 10 hingga 15 orang.

10.         Masyarakat agraria Belanda juga terkenal dalam industri pembinaan kapal yang terbaik di Eropah iaitu bermutu tinggi, tahan lasak, dan boleh memuatkan muatan yang lebih. Industri ini telah mendapat kepercayaan masyarakat pedagang di Eropah pada abad ke-17. Sekitar tahun 1630-an, Belanda telah berjaya membina 2 500 buah kapal dan separuhnya untuk kegunaan di Eropah seperti negara England, Perancis dan Sepanyol. Perkembangan industri perkapalan ini telah mendorong perkembangan perdagangan Belanda terutama pada tahun 1648.

11.         Kapal-kapal Belanda telah digunakan untuk mengangkut gandum dan barli dari Poland dan Timur Prusia, seterusnya ke Perancis, Sepanyol dan Mediterranean. Kapal-kapal ini juga turut digunakan untuk mengangkut besi dari Sweden dan barangan perdagangan dari Rusia, Timur Hindia, Brazil, Jepun, Asia Tenggara dan Kepulauan Barat Afrika. Perkembangan ini membolehkan Belanda menguasai perdagangan Eropah pada abad ke-16.

12.         Pada abad ke ke-16, hubungan antara pelabuhan Antwerp di Belanda dengan pelabuhan Lisbon di Portugal amat rapat. Apabila pelabuhan Antwerp jatuh ke tangan Sepanyol pada tahun 1585, aktiviti perdagangan telah berpindah ke pelabuhan Amsterdam dan telah muncul sebagai pusat perdagangan yang baru. Akibat pemberontakan oleh orang Belanda di bahagian utara telah mendorong Raja Phillip II menutup pelabuhan Lisbon dan menghalang kapal-kapal dari Belanda memasuki pelabuhan Lisbon.

13.         Keadaan ini telah menyebabkan pedagang-pedagang Belanda mencari sendiri barangan mereka sehingga mendorong Belanda menawan Kepulauan Rempah di Asia Tenggara. Tujuan Belanda bertindak demikian untuk menguasai perdagangan di Timur, menghapuskan monopoli Portugal dan Sepanyol, mengumpul kewangan untuk menentang kekuasaan Sepanyol di Belanda dan menawan pusat perdagangan Portugal di Timur.

14.         Pada tahun 1596, Belanda di ketuai oleh De Houtman telah sampai ke pelabuhan Bantam yang kaya dengan lada hitam, kemudian singgah di Jakarta, Pulau Madura, Bali dan kembali semula ke Amsterdam pada tahun 1597.

15.         Pada tahun 1598, 22 buah kapal dari Belanda menuju ke Timur dan telah meningkat kepada 60 buah kapal menuju ke Kepulauan Rempah di Timur antara tahun 1595 hingga tahun 1601. Mereka telah mengadakan perjanjian dengan pemerintah tempatan di Kepulauan Rempah di Asia Tenggara dengan memberi perlindungan kepada pemerintah tempatan seperti dengan Pulau Ambon (1600) dan Pulau Banda (1602). Sebagai balasan Belanda dapat memonopoli perdagangan buah pala.

16.         Bagi menjamin dan mengukuhkan kedudukan Belanda di Kepulauan Rempah ini, maka pada tahun 1602, parlimen Belanda bersetuju menubuhkan Syarikat Hindia Timur Belanda atau Vereenigde Oostindische Compagine (VOC). Dengan bermodal sebanyak 6½ juta guilder. Pengusaaan ini telah membolehkan Belanda mengawal sepenuhnya perdagangan import seperti lada hitam, bunga cengkih, buah pala, kulit kayu manis dan bunga lawang di Eropah. Pada tahun 1690, VOC telah memperkenalkan tanaman kopi di Jawa setelah berjaya dalam tanaman rempah.

17.         Pada awal abad ke-17, usahawan atau pemodal Belanda yang berjaya telah menceburi perniagaan insuran dan perdagangan mata wang asing serta turut memberi pinjaman kepada negara Denmark, Austria dan Sepanyol. Sebagai contoh, usahawan atau pemodal Nouis de Geer telah mengusahakan kilang senjata di Sweden dan ada usahawan Belanda memonopoli perdagangan eksport di Rusia.

18.         Bank Amsterdam adalah bank yang paling berjaya di Eropah iaitu antara tahun 1611 hingga tahun 1701, deposit Bank Amsterdam meningkat daripada 1 juta florin kepada 16 juta florin. Perkembangan perdagangan luar negara, industri dan pertanian di Belanda telah menarik kedatangan pedagang luar dan tempat ke Amsterdam pada tahun 1609. Perkembangan dan pengukuhan perdagangan dan mata wang telah meningkatkan perdagangan antarabangsa di Amsterdam.

19.         Penubuhan bank dan badan kewangan yang lain telah meningkatkan urusan perdagangan seperti Bank Amsterdam. Penubuhan bank ini telah memudahkan lagi pemindahan wang dan pinjaman kepada pedagang sebagai pelaburan jangka panjang. Keadaan ini telah meningkatkan keupayaan pelabuhan Amsterdam dalam perdagangan antarabangsa. Kerajaan Belanda telah berusaha menaik taraf pelabuhan Amsterdam seperti mendalamkan lagi pelabuhan Amsterdam, menyediakan lebih banyak gudang menyimpan barang dagangan, menyediakan kemudahan asas lain dan menghubungan pelabuhan dengan jalan darat yang lain.

20.         Usaha kerajaan Belanda ini telah memberi peluangan pekerjaan kepada masyarakat tempatan dan ekonomi Belanda juga mencapai tahap kegemilangannya pada abad ke-17.

Rujukan:
2. Buku Teks STPM Sejarah Penggal 1