Thursday, August 11, 2011

KHALIFAH ABU BAKAR AL_SIDDIQ

TEMA 2: Pemerintahan dan Pentadbiran

1. Bincangkan peranan Abu Bakar al-Siddiq sehinggakan beliau dianggap sebagai “Penyelamat Negara dan Umat Islam”

PENGENALAN

Ø Abu Bakar atau nama sebenarnya Abdullah bin Abi Qahafah merupakan sahabat Nabi Muhammad s.a.w yang paling rapat. Beliau terkenal dengan gelaran as-Siddiq kerana sentiasa membenarkan dan menyakini apa-apa yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w khasnya selepas peristiwa Israq Mikraj.

Ø Dari segi peribadi ,beliau terkenal dengan sifat yang lemah lembut ,pemurah ,dan banyak mengorbankan harta bendanya demi perkembangan agama Islam,terutamanya sewaktu ummat Islam menghadapi pemulauan kaum Quraisy. Bukti pengorbanan besar beliau ialah kesanggupan mengorbankan semua hartanya ,sehinggakan apabila ditanya apakah harta yang tinggal, beliau menjawab hanya Allah dan Rasul s.a.w.

Ø Beliau dilantik menjadi khalifah pada tahun 11 Hijrah dan hanya memegang teraju pemerintahan Negara Islam selama dua tahun. Walaupun tempoh pemerintahannya singkat ,beliau telah mampu menyelesaikan pelbagai masalah politik,ekonomi ,sosial dan sebagainya.

Ø Tegasnya Abu Bakar al-Siddiq merupakan khalifah pertama Negara Islam Madinah selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. bermula di saat itulah pentadbiran Negara berada di bawah Khulafa ar-Rasyidin.

ISI-ISI PENTING

Peranan Abu Bakar : Dianggap penyelamat Negara dan Umat Islam

Ø Abu Bakar as-Siddiq telah Berjaya menyelesaikan soal kewafatan Nabi Muhammad s.a.w sama ada persoalan kepercayaan serta tempat pemakaman jasad Rasulullah s.a.w. Abu Bakar telah membaca nas-nas al-Quran dan al-Hadis untuk menyelesaikan isu ini. Mengenai krisis kepercayaan Nabi Muhammad s.a.w telah wafat, beliau telah membaca petikan Surah Ali Imran ,ayat 144,sementara itu isu pemakaman dapat diselesaikan apabila beliau menyatakan nabi dan rasul terdahulu dimakamkan di tempat mereka wafat. Sehubungan itu, jasad Baginda telah disemadikan di Madinah.

Ø Abu Bakar juga menggunakan kebijaksanaannya untuk menyelesaikan soal pengganti Rasulullah s.a.w untuk memimpin Negara Islam. Beliau telah mengemukakan hujah sebaik-baik khalifah mestilah dipilih dalam kalangan Muhajirin untuk mengelakkan perpecahan sesma kaum Aus dan Khazraj, di samping golongan ini sememangnya mempunyai bakat kepimpinan semula jadi.

Ø Abu Bakar juga Berjaya menyelesaikan soal al-Riddah. Perpecahan umat Islam timbul apabila ada golongan yang enggan membayar zakat dan golongan nabi-nabi palsu dan golongan murtad. Masalan ini menjadi duri dalam daging dan perlu dibenteras segera. Abu Bakar terpaksa menggunakan kekerasan dengan membentuk 10 pasukan tentera yang akhirnya Berjaya menundukkan golongan nabi-nabi palsu,golongan yang enggan membayar zakat dan golongan murtad. Tentera Islam Berjaya menghapuskan pemimpin-pemimpin al-Riddah seperti Musailamah al-Kazzab,Sajjah al-harith,Tulaihah bin Khuwailid,Malik bin Nuwairah dan Aswad al-Ansi.

Ø Selain itu Khalifah Abu Bakar juga Berjaya meangani masalah ancaman musuh luar Negara Islam apabila menggerakan semula tentera yang dibentuk oleh Rasulullah s.a.w sebelum kewafatan baginda. Tentera di bawah pimpinan Usamah bin Zaid telah Berjaya mengatasi masalah ancaman Rom. Kejayaan gemilng yang dicapai menyebabkan pihak tentera ini diamanahkan menjaga keselamatan Kota Madinah sekali gus memadamkan ancaman golongan Zubyan dan Absy.

Ø Abu Bakar juga Berjaya mengumpulkan al-Quran. Usaha ini diketuai oleh Zaid bin Thabit untuk mengelakkan kehilangan al-Quran di buka bumi selepas kematian ramai al-hafiz dalam perang al Riddah. Usaha pengumpulan al-Quran dicadangkan oleh Umar Al-Khattab , walaupun pada awalnya Abu Bakar ragu-ragu untuk melaksanakannya. Demi kepentingan dari segi jangka panjang ,beliau akhirnya bersetuju dengan rancangan berkenaan. Sumbangan Saidina Abu Bakar ini sangat besar khasnya menyelamatkan al-Quran daripada terhapus.

Ø Bagi menjamin pentabbiran berjalan dengan lancar dan mewujudkan kestabilan politik ,Khalifah Abu Bakar juga telah menyusun pentadbiran dengan membahagikan Negara kepada 10 daerah dengan diketuai ole seorang Amir yang dibantu oleh iman,dan hakim,setiausaha dan Pegawai di Baitulmal.

Ø Abu bakar juga melaksanakan dasar ketenteran dengan melantik Khalid bin al-Walid sebagai panglima agung dan menggerakkan tentera untuk menghadapi Rom dan Parsi. Tentera Islam Berjaya mengambil alih kawasan Damsyik,Hims di Palestine dan di Jordan. Bagi menghadapi Parsi, Muthana bin Harithah telah dihantar untuk menghadapi pemberontakan di Teluk Parsi, menghantar Khalid al_Walid bagi menawan wilayah di Sungai Furat,dan merancang untuk menyerang wilayah Hirah di bawah kepimpinan Hurmuz sekali gus berjaya membunuh Hurmuz dan menawan Hirah diikuti Anbar.

KESIMPULAN

Ø Kejayaan yang dicapai pada zaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq telah meninggalkan kesan yang positif. Beliau bukan sahaja dapat menyelamatkan umat Islam daripada perpecahan umat dan Negara Islam daripada golongan yang tidak bertanggungjawab ,malah Saidina Abu Bakar dikatakan telah menyediakan ruang yang secukupnya untuk bakal penggantinya , iaitu Saidina Umar al-Khattab. Jasa dan pengorbanan Khalifah pertama ini menjadi pemangkin kepada kepimpinan khalifah seterusnya.

No comments:

Post a Comment